Pengenalan

Tuesday, February 19, 2008

Pengajaran dari Al-Qur'an: "Bukit Akal dan Ego Nafsu"






Pengajaran dari Al-Qur'an: "Bukit Akal dan Ego Nafsu"

Firman Allah s.w.t.:





Dan bahtera itu berlayar membawa mereka dalam gelombang laksana gunung. dan Nuh memanggil anaknya, sedang anak itu berada di tempat yang jauh terpencil: "Hai anakku, naiklah (ke kapal) bersama kami dan janganlah kamu berada bersama orang-orang yang kafir." (42) Anaknya menjawab: "Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memeliharaku dari air bah!" Nuh berkata: "Tidak ada yang melindungi hari Ini dari azab Allah selain Allah (saja) yang Maha penyayang". dan gelombang menjadi penghalang antara keduanya; Maka jadilah anak itu termasuk orang-orang yang ditenggelamkan.(43) Dan difirmankan: "Hai bumi telanlah airmu, dan Hai langit (hujan) berhentilah," dan airpun disurutkan, perintahpun diselesaikan dan bahtera itupun berlabuh di atas bukit Judi, dan dikatakan: "Binasalah orang-orang yang zalim ." (44) (Surah Hud: 42-44)

Ini suatu paparan sejarah yang disampaikan oleh Allah s.w.t. kepada seluruh umat akhir zaman, sebagai pengajaran dan tauladan, agar dapat membetulkan kedudukan perjalanan menuju Tuhan s.w.t..

Kisah ini berkenaan dengan dialog antara Saidina Nabi Nuh a.s. dengan anak baginda a.s. yang kufur terhadap dakwah Nabi Nuh a.s.. Nabi Nuh a.s. berdakwah kepada kaum baginda a.s. selama 950 tahun, namun hanya segelintir sahaja yang menerima seruan dakwah baginda a.s.. Majoriti daripada kaum baginda a.s. memilih untuk mendustai dakwah baginda a.s. termasuklah seorang isteri dan anak baginda a.s..

Setelah beberapa tempoh waktu, Allah s.w.t. menjanjikan siksaan ke atas orang-orang kafir lalu mewahyukan agar Nabi Nuh a.s. membina bahtera di atas bukit yang tinggi. Bertolak daripada itu, maka ramai dalam kalangan kaum Nabi Nuh a.s. memperlekehkan baginda a.s. termasuklah salah seorang isteri dan anak baginda a.s. sendiri.

Maha Berkuasa Allah s.w.t., takkala menurunkan hujan yang lebat setelah itu, dan bumi turut memancarkan mata air, sehingga menenggelamkan penduduk yang ingkar dari kaum Nabi Nuh a.s., dalam pada itu, terselamatlah orang-orang yang beriman yang menaiki bahtera Nabi Nuh a.s..

Namun, takkala banjir besar berlaku, sempat berlaku dialog antara dua insan, yang memilih dua jalan berlainan, yang mana satunya memilih keimanan dan satunya lagi memilih akan kekufuran, iaitu antara Nabi Nuh a.s. dan anak baginda yang kufur bernama Qanaan (seperti yang diriwayatkan).

Nabi Nuh a.s., simbol keimanan, yang mengajak kepada kesejahteraan lalu berkata kepada anak baginda a.s., insan kerdil di persada ancaman Tuhan:

(يا بني اركب معنا ولا تكن مع الكافرين)

"Wahai anakku, naiklah bersama kami (di atas bahtera iman) dan janganlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang kafir"

Bahkan, si anak itu tetap dengan kedegilan, mencari-cari jalan keselamatan, selain daripada jalan Tuhan, dek kerana telah terlebih dahulu lemas dalam banjir nafsu yang menyesatkan, lalu menggunakan akal untuk mencari penyelesaian… Penyelesaian untuk berlepas diri daripada siksaan Tuhan… Mencari-cari akan jalan selain jalan Tuhan sebagai keselamatan…

Lalu, dek tertipu dengan akal yang terbatas, dek terpengaruh dengan egonya nafsu yang tidak pernah puas, berkata si anak kepada Saidina Nabi Nuh a.s.:

(سآوي إلى جبل يعصمني من الماء)

"Aku akan pergi mencari perlindungan di bukit (gunung) yang dapat menyelamatkanku daripada air (banjir)"

Inilah simbol kecetekan pemikiran seseorang insan, tanpa suluhan dari suluhan Tuhan. Masalah yang dihadapi oleh si anak tersebut bukanlah berkaitan banjir, cuma. Tetapi ia berkaitan dengan "mencabar" Allah s.w.t., Tuhan alam semesta. Besar mana akal untuk menyelamatkan dirinya daripada Tuhan Maha Pencipta segalanya termasuklah akalnya?

Ia bukan berkaitan dengan bahtera. Ia bukan berkaitan dengan bukit, gunung, banjir, hujan dan lautan. Ia berkaitan dengan kemurkaan Allah s.w.t., Tuhan yang Maha Berkuasa. Ia berkaitan dengan insan-insan yang sanggup memilih kekufuran daripada keimanan!!!

Bahtera Nabi Nuh a.s. hanyalah simbol kepada keimanan. Ungkapan: "naiklah bersama kami" adalah simbol kepada dakwah Nabi Nuh a.s. ke arah keimanan (demikian menurut tafsir oleh Sheikh Ibn Asyur). Banjir hanyalah simbol bagi nafsu yang melemaskan. Bukit hanyalah simbol bagi tempat pergantungan selain daripada Tuhan, yang dilukis oleh akal yang ketandusan. Inilah hakikat yang difahami secara jelas oleh Saidina Nuh a.s. seraya berkata:

(لا عاصم اليوم من أمر الله إلا من رحم)

"Tiada pemeliharaan pada hari ini, daripada urusan (azab) Allah s.w.t. melainkan hanya dari Allah s.w.t. yang Maha Penyayang…"

Inilah hakikat duhai insan. Inilah penyelamat wahai teman. Hanya Allah s.w.t. yang mampu memelihara kita an memberi kesejahteraan. Mengapa memilih selain dari Tuhan untuk dijadikan tempat ketaatan? Mengapa tergamak memilih selain Allah s.w.t. untuk menjadi yang paling dicintai penuh keistimewaan? Mengapa memilih selain Ar-Rahman, sebagai matlamat sepanjang hidup yang cuma sekadar sebuah perjalanan?

Lihatlah, akibat bagi si anak itu, hanyalah bersama-sama dengan orang-orang yang lemas.

(فكان من المغرقين)

Maksudnya: "Maka dia bersama-sama dengan orang yang lemas."

Si anak dan orang-orang yang lemaslah yang sanggup memilih untuk lemas atau tenggelam sebelum mereka tenggelam buat kali yang kedua. Mereka sanggup memilih untuk tenggelam dalam lautan syahwat sehingga sudi mengutamakan kekufuran, maka kesudahan mereka juga adalah lemas dalam kemurkaan Allah s.w.t..

Semoga kisah dialog ini menjadi pengajaran, buat kita yang masih sedang berjalan, dalam meniti setiap saat dalam kehidupan, agar isi kehidupan tersebut hanyalah ketaatan, seraya menyahut seruan Nabi Nuh a.s. yang mengajar kepada keimanan, dalam ungkapan: "marilah bersama kami dalam bahtera keselamatan".

Hanya iman yang mampu membawa kepada keselamatan, kerana hanya iman yang membawa kepada keredhaan dari Tuhan s.w.t.. Jadikanlah seluruh hidup ini dalam usaha untuk mendambar kasih sayangNya yang tiada berkesudahan. Sesungguhnya, selain dari jalan keimanan, ketaqwaan yang dijelaskan oleh Saidina Zainul Akwan (penyeri alam ini: iaitu Rasulullah s.a.w.), akan membawa seseorang bersama dengan orang-orang yang tenggelam dalam kemurkaan.

Inilah makna tersirat dari dialog yang diabadikan oleh Allah s.w.t. dalam Al-Qur'an. Ia bukan sekadar untuk dijadikan kisah warisan zaman berzaman, tetapi untuk menjadi pedoman buat mereka yang mahu memikirkan.

Benarlah kata Sheikh Dr. Al-Buti takkala berpesan: "Sejarah tidak memberi sebarang manfaat kepada kita melainkan hanyalah pengajaran".

Sesiapa yang ingin mengambil manfaat daripada sejarah, maka handaklah dia memulakan langkah, untuk mengikuti Sunnah, yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w., iaitu menjadikan hidup ini seluruhnya hanya Allah s.w.t..

Dewasa ini, masyarakat semakin lemas dengan falsafah-falsafah sampah, yang dipelopori oleh masyarakat barat yang jahiliyyah, natijah daripada lemas dalam penggunaan akal demi melawan agama Allah s.w.t..

Sekularisme, Hedonisme, Feminisme, Darwinisme, dan apa sahaja isme, namakan sahaja menurut kesukaanmu, hanyalah bukit-bukit natijah daripada akal yang gersang daripada suluhan pedoman Ilahi, dan natijah daripada keegoan dalam mengikuti nafus yang sentiasa menipu. Segala paradigma, idealisme, atau apa sahaja yang ingin dinamakan, sesedap rasa, pada hakikatnya hanyalah mengulangi semula sejarah, yang pernah berlaku seperti dalam dialog antara Nabi Nuh a.s. dan anak baginda a.s..

Apabila manusia sanggup memilih bukit-bukit idealisme dan pemikiran, untuk lari daripada bahtera keimanan ajaran Tuhan (Islam), maka mereka tidak memilih melainkan untuk terus lemas dalam banjir kemurkaan Tuhan...

Janganlah terus leka dengan memilih corak budaya dan pemikiran selain daripada apa yang diajarkan oleh Islam, kerana jalan keselamatan hanyalah ada pada apa yang disampaikan oleh utusan Allah s.w.t. (Rasulullah s.a.w.) yang tersemat dalam ungkapan: "Marilah naik atas bahtera bersama-sama kami".

Marilah sertai Nabi Muhammad s.a.w. dengan menaiki bahtera Baginda s.a.w., dengan menjadikan seluruh hidup kerana Allah s.w.t., dengan menjadikan seluruh amalan hidup kita hanyalah ketaatan, dan dengan menjadikan sunnah Baginda s.a.w. sebagai hiasan diri dan kehidupan.

Semoga Allah s.w.t. menyelamatkan kita daripada banjir kemurkaanNya dan menjadikan kita daripada orang-orang yang sejahtera dalam bahtera yang dikemudi oleh Saidina Al-Mustofa s.a.w..

Wallahu a'lam…

Al-Faqir ilaLlah…

Abu Al-Khair

20 Feb 2008

No comments: