Pengenalan

Wednesday, February 20, 2008

Istighfar...

Dari Syadad bin ‘Aus r.a dari Nabi SAW berkata: “Pimpinan istigfar adalah hendaklah engkau berkata:

(( اللهم أنت ربي ، لا إله إلا أنت خلقتني ، وأنا عبدك ، وأنا على عهدك ووعدك ما استطعت ، أعوذبك من شر ماصنعت ، أبوء لك بنعمتك علي ، وأبوء بذنبي ، فاغفرلي ، فإنه لا يغفر الذنوب إلا أنت .

Ya Allah Engkau adalah Tuhanku, Tidak ada tuhan melainkan Engkau Yang telah menciptakanku, dan Aku adalah hambaMU, dan Aku berada di atas sumpah dan perjanjianMU menurut semampuku, Aku berlindung kepadaMU dari keburukan perbuatanku (dosa), Aku mengakui dengan nikmatMU atasku, dan Aku mengakui dosaku, maka ampunkanlah aku, karena sesungguhnya tidak ada yang mengampuni dosa-dosa melainkan Engkau…

ومن قالها من النهار موقنا بها فمات من يومه قبل أن يمسي فهو من أهل الجنة ، ومن قالها من الليل وهو موقن بها فمات قبل أن يصبح فهو من أهل الجنة.))

Barangsiapa yang telah membacanya di sianghari dengan penuh keyaqinan, kemudian mati di hari itu sebelum sore maka ia sebagai penghuni surge, dan barangsiapa yang telah membacanya di malam hari dan dia yaqin kemudian mati sebelum pagi maka ia sebagai penghuni sugra”. (HR. Bukhari, Tirmidzi, Annasai, dan Ahmad).

Yang Mencintai...Mengemis Pertemuan yang Dicintai

Yang Mencintai… Mengemis Pertemuan yang Dicintai

Katakanlah: Sesungguhnya Aku Ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: "Bahwa Sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa". barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, Maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya". (Surah Al-Kahfi: 110)

Dalam ayat ini, Allah s.w.t. memberitahu kepada Rasulullah s.a.w. bahawasanya, di sebalik kemanusiaan Baginda s.a.w. seperti yang dapat dilihat oleh mata kasar seseorang manusia, Baginda s.a.w. juga membawa hakikat kenabian dan kerasulan yang hanya boleh dilihat dengan mata hati melalui suluhan hidayah Allah s.w.t. dengan kanta keimanan.

Abu Jahal, Abu Lahab dan para musyrikin hanya melihat Nabi s.a.w. sekadar seorang manusia biasa, kerana terperangkap dengan pandangan mata zahir dalam masa yang sama, buta mata hati mereka kerana keegoan mereka dan ujub mereka terhadap diri mereka sendiri. Ini membuatkan mereka membandingkan kemanusiaan diri mereka dengan kemanusiaan Nabi s.a.w. sehingga melupakan sudut kenabian Nabi s.a.w. yang hanya dapat disaksikan dengan keimanan hati.

Saidina Abu Bakar r.a., Saidina Umar Al-Khattab r.a. dan para sahabat r.a. melihat di samping kemanusiaan Rasulullah s.a.w., mereka juga melihat ada suatu sudut yang lebih berharga, bahkan sudut tersebut merupakan rahmat buat seluruh alam, iaitulah sudut kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.. Rasulullah s.a.w. adalah manusia yang membawa pesanan dari Allah s.w.t. buat seluruh manusia, lalu bahagialah mereka yang mengakuinya lalu mengikutinya serta celakalah bagi mereka yang mendustainya.

Antara pesanan Ilahi yang disampaikan oleh Nabi s.a.w. kepada seluruh manusia di dunia ini, adalah, "Sesiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Allah s.w.t., maka beramallah dengan amalan yang soleh dan tidak mempersekutukan Allah s.w.t. dalam pengabdian".

Ini suatu mesej yang jelas, buat manusia yang menggunakan akal yang waras, dalam menjalani sebuah kehidupan yang penuh berasas, yang didirikan atas wawasan bernas, iaitu wawasan "mengharapkan pertemuan dengan Allah s.w.t., Tuhan sekalian alam yang tersergam luas".

Mengapa mesej ini hanya kepada mereka yang mengharapkan pertemuan dengan Allah s.w.t. semata-mata? Hal ini kerana, hanya orang-orang yang mengharapkan pertemuan dengan Allah s.w.t. sahaja yang sanggup melakukannya. Adapun selain daripada mereka yang mengharapkan pertemuan denganNya, maka biar mesej disampaikan sebanyak mana, namun mereka tetap memilih untuk tidak mengendahkannya.

Ini umpama mesej cinta, dari Maha Pencinta kepada mereka yang dianugerahkan cinta daripadaNya, kepadaNya, yang mana, mereka yang tidak merasainya, tidak memahami keagungan ini mesej cinta…

Sheikh Yusuf Al-Hasani berkata: "Sesiapa yang tidak menangisi kejauhan (daripadaNya), dan tidak mengharapkan pertemuan (denganNya), maka dia sememangnya tidak memahami bahasa cinta (kepadaNya)".

Sesiapa yang tidak mengharapkan pertemuan dengan seseorang, maka jelaslah tiada di hatinya akan cinta kepadanya. Hal ini jelas, kerana dalam bahasa cinta, semakin cinta, semakin mengharapkan pertemuan dan kebersamaan dengan sang kekasih yang tercinta.

Maka, Allah s.w.t. menyuruh wakilNya yang menjadi penghulu kepada para pencintaNya, untuk memberitahu kepada para pencintaNya, agar beramal soleh dan ikhlas dalam setiap amalan tersebut.

Ini menunjukkan bahawa, sesiapa yang mendakwa cinta kepada Allah s.w.t., namun tidak melakukan amalan soleh, maka dia adalah seorang pendusta. Benarlah kata sya'ir, sesungguhnya, yang mencintai itu akan mentaati yang dicintai".

Bahkan, sesiapa yang melakukan ketaatan dan amalan soleh, tetapi tidak ikhlas dalam amalan, maka dia juga seorang yang pendusta atas nama cinta. Bagaimana seseorang itu mencintai Allah s.w.t. tetapi melakukan ketaatan bukan keranaNya? Ini suatu dusta bahkan suatu kebiadaban yang nyata.

Oleh yang demikian, mesej ini mengajak manusia agar menanamkan cinta kepadaNya, sehingga meluap-luap di hatinya akan perasaan inginkan pertemuan denganNya, lalu merealisasikan syarat-syarat yang membawanya kepada pertemuan denganNya, iaitu dengan melakukan amalan soleh sekadar keupayaannya, dan ikhlaskan niat dalam setiap amalan yang dilakukannya, kepadaNya. Semoga Allah s.w.t. membantu kita dalam mentaatiNya dan membantu kita dalam mengharapkan pertemuan denganNya.

Wallahu a'lam…

Al-Faqir ilaLlah

Abu Al-Khair

Tuesday, February 19, 2008

Pengajaran dari Al-Qur'an: "Bukit Akal dan Ego Nafsu"






Pengajaran dari Al-Qur'an: "Bukit Akal dan Ego Nafsu"

Firman Allah s.w.t.:





Dan bahtera itu berlayar membawa mereka dalam gelombang laksana gunung. dan Nuh memanggil anaknya, sedang anak itu berada di tempat yang jauh terpencil: "Hai anakku, naiklah (ke kapal) bersama kami dan janganlah kamu berada bersama orang-orang yang kafir." (42) Anaknya menjawab: "Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memeliharaku dari air bah!" Nuh berkata: "Tidak ada yang melindungi hari Ini dari azab Allah selain Allah (saja) yang Maha penyayang". dan gelombang menjadi penghalang antara keduanya; Maka jadilah anak itu termasuk orang-orang yang ditenggelamkan.(43) Dan difirmankan: "Hai bumi telanlah airmu, dan Hai langit (hujan) berhentilah," dan airpun disurutkan, perintahpun diselesaikan dan bahtera itupun berlabuh di atas bukit Judi, dan dikatakan: "Binasalah orang-orang yang zalim ." (44) (Surah Hud: 42-44)

Ini suatu paparan sejarah yang disampaikan oleh Allah s.w.t. kepada seluruh umat akhir zaman, sebagai pengajaran dan tauladan, agar dapat membetulkan kedudukan perjalanan menuju Tuhan s.w.t..

Kisah ini berkenaan dengan dialog antara Saidina Nabi Nuh a.s. dengan anak baginda a.s. yang kufur terhadap dakwah Nabi Nuh a.s.. Nabi Nuh a.s. berdakwah kepada kaum baginda a.s. selama 950 tahun, namun hanya segelintir sahaja yang menerima seruan dakwah baginda a.s.. Majoriti daripada kaum baginda a.s. memilih untuk mendustai dakwah baginda a.s. termasuklah seorang isteri dan anak baginda a.s..

Setelah beberapa tempoh waktu, Allah s.w.t. menjanjikan siksaan ke atas orang-orang kafir lalu mewahyukan agar Nabi Nuh a.s. membina bahtera di atas bukit yang tinggi. Bertolak daripada itu, maka ramai dalam kalangan kaum Nabi Nuh a.s. memperlekehkan baginda a.s. termasuklah salah seorang isteri dan anak baginda a.s. sendiri.

Maha Berkuasa Allah s.w.t., takkala menurunkan hujan yang lebat setelah itu, dan bumi turut memancarkan mata air, sehingga menenggelamkan penduduk yang ingkar dari kaum Nabi Nuh a.s., dalam pada itu, terselamatlah orang-orang yang beriman yang menaiki bahtera Nabi Nuh a.s..

Namun, takkala banjir besar berlaku, sempat berlaku dialog antara dua insan, yang memilih dua jalan berlainan, yang mana satunya memilih keimanan dan satunya lagi memilih akan kekufuran, iaitu antara Nabi Nuh a.s. dan anak baginda yang kufur bernama Qanaan (seperti yang diriwayatkan).

Nabi Nuh a.s., simbol keimanan, yang mengajak kepada kesejahteraan lalu berkata kepada anak baginda a.s., insan kerdil di persada ancaman Tuhan:

(يا بني اركب معنا ولا تكن مع الكافرين)

"Wahai anakku, naiklah bersama kami (di atas bahtera iman) dan janganlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang kafir"

Bahkan, si anak itu tetap dengan kedegilan, mencari-cari jalan keselamatan, selain daripada jalan Tuhan, dek kerana telah terlebih dahulu lemas dalam banjir nafsu yang menyesatkan, lalu menggunakan akal untuk mencari penyelesaian… Penyelesaian untuk berlepas diri daripada siksaan Tuhan… Mencari-cari akan jalan selain jalan Tuhan sebagai keselamatan…

Lalu, dek tertipu dengan akal yang terbatas, dek terpengaruh dengan egonya nafsu yang tidak pernah puas, berkata si anak kepada Saidina Nabi Nuh a.s.:

(سآوي إلى جبل يعصمني من الماء)

"Aku akan pergi mencari perlindungan di bukit (gunung) yang dapat menyelamatkanku daripada air (banjir)"

Inilah simbol kecetekan pemikiran seseorang insan, tanpa suluhan dari suluhan Tuhan. Masalah yang dihadapi oleh si anak tersebut bukanlah berkaitan banjir, cuma. Tetapi ia berkaitan dengan "mencabar" Allah s.w.t., Tuhan alam semesta. Besar mana akal untuk menyelamatkan dirinya daripada Tuhan Maha Pencipta segalanya termasuklah akalnya?

Ia bukan berkaitan dengan bahtera. Ia bukan berkaitan dengan bukit, gunung, banjir, hujan dan lautan. Ia berkaitan dengan kemurkaan Allah s.w.t., Tuhan yang Maha Berkuasa. Ia berkaitan dengan insan-insan yang sanggup memilih kekufuran daripada keimanan!!!

Bahtera Nabi Nuh a.s. hanyalah simbol kepada keimanan. Ungkapan: "naiklah bersama kami" adalah simbol kepada dakwah Nabi Nuh a.s. ke arah keimanan (demikian menurut tafsir oleh Sheikh Ibn Asyur). Banjir hanyalah simbol bagi nafsu yang melemaskan. Bukit hanyalah simbol bagi tempat pergantungan selain daripada Tuhan, yang dilukis oleh akal yang ketandusan. Inilah hakikat yang difahami secara jelas oleh Saidina Nuh a.s. seraya berkata:

(لا عاصم اليوم من أمر الله إلا من رحم)

"Tiada pemeliharaan pada hari ini, daripada urusan (azab) Allah s.w.t. melainkan hanya dari Allah s.w.t. yang Maha Penyayang…"

Inilah hakikat duhai insan. Inilah penyelamat wahai teman. Hanya Allah s.w.t. yang mampu memelihara kita an memberi kesejahteraan. Mengapa memilih selain dari Tuhan untuk dijadikan tempat ketaatan? Mengapa tergamak memilih selain Allah s.w.t. untuk menjadi yang paling dicintai penuh keistimewaan? Mengapa memilih selain Ar-Rahman, sebagai matlamat sepanjang hidup yang cuma sekadar sebuah perjalanan?

Lihatlah, akibat bagi si anak itu, hanyalah bersama-sama dengan orang-orang yang lemas.

(فكان من المغرقين)

Maksudnya: "Maka dia bersama-sama dengan orang yang lemas."

Si anak dan orang-orang yang lemaslah yang sanggup memilih untuk lemas atau tenggelam sebelum mereka tenggelam buat kali yang kedua. Mereka sanggup memilih untuk tenggelam dalam lautan syahwat sehingga sudi mengutamakan kekufuran, maka kesudahan mereka juga adalah lemas dalam kemurkaan Allah s.w.t..

Semoga kisah dialog ini menjadi pengajaran, buat kita yang masih sedang berjalan, dalam meniti setiap saat dalam kehidupan, agar isi kehidupan tersebut hanyalah ketaatan, seraya menyahut seruan Nabi Nuh a.s. yang mengajar kepada keimanan, dalam ungkapan: "marilah bersama kami dalam bahtera keselamatan".

Hanya iman yang mampu membawa kepada keselamatan, kerana hanya iman yang membawa kepada keredhaan dari Tuhan s.w.t.. Jadikanlah seluruh hidup ini dalam usaha untuk mendambar kasih sayangNya yang tiada berkesudahan. Sesungguhnya, selain dari jalan keimanan, ketaqwaan yang dijelaskan oleh Saidina Zainul Akwan (penyeri alam ini: iaitu Rasulullah s.a.w.), akan membawa seseorang bersama dengan orang-orang yang tenggelam dalam kemurkaan.

Inilah makna tersirat dari dialog yang diabadikan oleh Allah s.w.t. dalam Al-Qur'an. Ia bukan sekadar untuk dijadikan kisah warisan zaman berzaman, tetapi untuk menjadi pedoman buat mereka yang mahu memikirkan.

Benarlah kata Sheikh Dr. Al-Buti takkala berpesan: "Sejarah tidak memberi sebarang manfaat kepada kita melainkan hanyalah pengajaran".

Sesiapa yang ingin mengambil manfaat daripada sejarah, maka handaklah dia memulakan langkah, untuk mengikuti Sunnah, yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w., iaitu menjadikan hidup ini seluruhnya hanya Allah s.w.t..

Dewasa ini, masyarakat semakin lemas dengan falsafah-falsafah sampah, yang dipelopori oleh masyarakat barat yang jahiliyyah, natijah daripada lemas dalam penggunaan akal demi melawan agama Allah s.w.t..

Sekularisme, Hedonisme, Feminisme, Darwinisme, dan apa sahaja isme, namakan sahaja menurut kesukaanmu, hanyalah bukit-bukit natijah daripada akal yang gersang daripada suluhan pedoman Ilahi, dan natijah daripada keegoan dalam mengikuti nafus yang sentiasa menipu. Segala paradigma, idealisme, atau apa sahaja yang ingin dinamakan, sesedap rasa, pada hakikatnya hanyalah mengulangi semula sejarah, yang pernah berlaku seperti dalam dialog antara Nabi Nuh a.s. dan anak baginda a.s..

Apabila manusia sanggup memilih bukit-bukit idealisme dan pemikiran, untuk lari daripada bahtera keimanan ajaran Tuhan (Islam), maka mereka tidak memilih melainkan untuk terus lemas dalam banjir kemurkaan Tuhan...

Janganlah terus leka dengan memilih corak budaya dan pemikiran selain daripada apa yang diajarkan oleh Islam, kerana jalan keselamatan hanyalah ada pada apa yang disampaikan oleh utusan Allah s.w.t. (Rasulullah s.a.w.) yang tersemat dalam ungkapan: "Marilah naik atas bahtera bersama-sama kami".

Marilah sertai Nabi Muhammad s.a.w. dengan menaiki bahtera Baginda s.a.w., dengan menjadikan seluruh hidup kerana Allah s.w.t., dengan menjadikan seluruh amalan hidup kita hanyalah ketaatan, dan dengan menjadikan sunnah Baginda s.a.w. sebagai hiasan diri dan kehidupan.

Semoga Allah s.w.t. menyelamatkan kita daripada banjir kemurkaanNya dan menjadikan kita daripada orang-orang yang sejahtera dalam bahtera yang dikemudi oleh Saidina Al-Mustofa s.a.w..

Wallahu a'lam…

Al-Faqir ilaLlah…

Abu Al-Khair

20 Feb 2008

Dalam Kehidupan Ini


Dalam kehidupan ini:


Orang yang paling malang ialah, orang yang tidak tahu tujuan sebenar hidup di dunia ini.



Orang yang paling bahagia ialah, orang yang tahu apa tahu tujuan sebenar hidup di dunia ini.


Orang yang paling rugi ialah, orang yang tahu apa yang perlu dilakukan dalam hidup ini, namun tidak melakukan tanggungjawabnya.

Orang yang paling untung ialah, orang yang tahu tanggungjawabnya dalam hidup ini, lalu melaksanakannya.


Orang yang paling gila ialah, orang yang tamak kepada keduniaan dan kebendaan.

Orang yang paling rehat ialah, orang yang qanaah (rasa cukup dengan apa yang dimiliki) dan redha dengan pemberian Allah s.w.t..


(c) abu al-khair 2008

Antara Adab Para Sufi: Mengambil Dunia Sekadarnya

Antara Adab Para Sufi: Mengambil Dunia Sekadarnya

Antara adab para sufi adalah: menggunakan dunia sekadar melaksanakan hak dan kewajipan. Iaitu, memperkuatkan fizikal agar dapat melaksanakan kewajipan, tanpa didorong oleh kelazatan syahwat.
Dia mengambil dunia secukupnya, dengan niat agar fizikalnya dapat melaksanakan hak dan tanggungjawab. Jadi, dunia digunakan sebagai alat untuk ketaatan kepada Allah s.w.t., bukan sebagai memenuhi syahwat.

Jika engkau mengambil sedikit dari dunia, maka ambillah sekadar untuk memperkuatkan fizikal dalam melaksanakan ketaatan. Dan, dia faham akan batasan qiwam (memperkuatkan diri daripada hal-hal keduniaan untuk tujuan ketaatan kepada Allah s.w.t.). Jika dia ambil kerana kelazatan nafsu, maka, meskipun halal, tetap tidak selamat dari hisab, apatah lagi yang haram.

Saidina Ali r.a. berkata: Sikit daripada yang halal itu adalah hisab (perhitungan), Banyak daripada yang halal juga adalah itab (penyesalan). Adapun yang haram adalah 'iqob (siksaan).

Orang sufi takut ditimpa oleh syahwat. Azab dalam dunia, adalah berat untuk melakukan ibadah. Ia pada hakikatnya adalah hukuman dari Allah s.w.t.. Adapun syahwat perkataan, merosakkan. Ketiga, syahwat dalam memandang.

Makan dengan niat agar fizikal dapat melakukan ketaatan. Jagalah lidah dengan kejujuran. Sodiq, perbuatan sama dengan perkataannya. Siddiq: setelah perbuatan dan perkataannnya sesuai dengan hatinya.

Jaga mata dengan mengambil pelajaran daripada apa yang dilihat.

Barangsiapa yang tidak jaga makan, maka membawa kepada syahwat, seterusnya kepada yang haram. Makan yang kurang, akan menyebabkan suara syahwat makin berkurangan.

Sesiapa yang tidak jaga lidah, maka dia akan bercakap dengan dusta dan mengumpat. Sesiapa yang tidka menjaga mata, maka Allah s.w.t. akan butakan dari mendapat pelajaran.

Para Penghulu Rindu


Para Penghulu Rindu

Damainya hati memendam rindu,
Kepada mereka, para penghulu,
Terasa dahaga mencengkam qalbu,
Takkala kejauhan nan makin merindu.

Gelas kerinduan saling beredaran,
Sesama mereka, para bangsawan,
Bersama mereka bagaikan terasa,
Dalam berjauhan, ada kebersamaan.

Hati pilu mengenangkan mereka,
Merekalah penghibur hati yang nestapa,
Dengan Tuhan mereka, aku dihiburkan,
Sambil beralunan mencari pengertian.

Tentang Allah, aku diingatkan,
KepadaNya jua, mereka berkembara,
Aku sekadar menikmati udara,
Di hujung rombongan yang sedang berkelana.

Rinduku pada mereka, semakin merindu,
Takkala mereka ajarkanku, erti rindu,
Berbahagialah mereka takkala merindu,
Kerna merekalah, yang sebenarnya dirindu.

Wahai sekalian para pinggiran,
Janganlah mencerca para bangsawan,
Biarkan mereka dalam cinta mereka,
Agar bisa bersama menumpang keberkatan.

Benarlah kata para pujangga,
Manusia memusuhi kejahilan mereka,
Mengapa ingkar hai tuan puan,
Bukankah mulia, pada baik sangkaan.

Para bangsawan dalam kemuliaan,
Merekalah pewaris bicara cinta,
Yang diwarisi dari para pecinta,
Yang dipimpin oleh Nabi tercinta.

Luahan rindu ditiup angin lalu,
Takkala ingin ku sampaikan tetapi malu,
Moga Allah membawa daku,
Kepada mereka untuk terus merindu..
abul-khair