Pengenalan

Monday, May 26, 2008

Mencintai Rasulullah...Suatu Anugerah

Rasulullah s.a.w. bersabda:

(أحبوا الله لما يغذوكم به من نعمه وأحبوني لحب الله إياي

Maksudnya:

"Cintailah Allah s.w.t. kerana Dia telah mengurniakan kepadamu dengan kehendakNya, akan nikmat-nikmatNya, dan cintailah daku dengan sebab Allah s.w.t. mencintai daku" (Hadith riwayat At-Tirmizi)

Hadith ini suatu pengajaran daripada Saidina Rasulullah s.a.w., Nabi Junjungan, agar seluruh umat manusia mencintai Baginda s.a.w. kerana Allah s.w.t. juga mencintai Baginda s.a.w.. Nilai cinta Allah s.w.t. kepada Baginda s.a.w. sudah mencukupkan Baginda s.a.w. daripada cinta selain daripada cinta Allah s.w.t., tetapi masih menyeru manusia agar mencintai Baginda s.a.w. kerana cinta Allah s.w.t. kepada seseorang manusia itu, tidak akan hadir kepadanya tanpa dia mencinta Rasulullah s.a.w..

Para sahabat r.a. adalah antara manusia yang paling mencintai dan merindui Rasulullah s.a.w.. Merekalah para contoh tauladan kita dalam mencintai Rasulullah s.a.w.. Sewaktu Baginda s.a.w. hidup bersama-sama mereka, tiada yang lebih utama bagi mereka daripada keredhaan Rasulullah s.a.w. kepada mereka, kerana keredhaan Rasulullah s.a.w.membawa kepada keredhaan Allah s.w.t..

Suka duka Saidina Rasulullah s.a.w. sering turut sama dipikul oleh para sahabat r.a. kerana diri mereka adalah perisai-perisai kukuh buat Baginda s.a.w.. Detik-detik kewafatan Nabi s.a.w. merupakan detik-detik kemuncak kesedihan para sahabat r.a., yang tiada kesedihan lebih menyedihkan daripada berpisah dengan Nabi s.a.w..


Para sahabat r.a. sentiasa bertabarruk kepada kesan-kesan dan peninggalan Nabi s.a.w., seperti pakaian, rambut, pedang dan barang-barang peninggalan Nabi s.a.w.. Para sahabat r.a. sentiasa mengalirkan air mata takkala melalui tempat-tempat yang pernah didiami atau dilalui oleh Saidina Rasulullah s.a.w.. Kerinduan para sahabat r.a. tidak terkata kala ramai daripada mereka yang sentiasa mengulangi perbuatan-perbuatan Rasulullah s.a.w. sewaktu hayat Baginda s.a.w., termasuklah mereka sanggup tidur di bawah pohon yang pernah menjadi tempat perteduhan Nabi s.a.w..


Inilah antara tanda kecintaan teragung kepada Manusia Teragung, Penghulu para makhluk, Rasulullah s.a.w.. Kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. tanpa sempadan. Kecintaan kepada Baginda s.a.w. tanpa celaan. Bagindalah junjungan, cahaya atas cahaya dan keagungan atas keagungan. Berbahagialah mereka yang dianugerahkan perasaan kasih kepada Nabi s.a.w..

Semoga Allah s.w.t. menganugerahkan kasih kepada Nabi s.a.w. dalam diri kita, amin…

Al-faqir ila Allah

Abu Al-Khair

No comments: